DATING JIMAT

Dating Seharian Dengan RM50 Sahaja

Di pertengahan bulan, pasti anda berdua jarang keluar bersama kerana keadaan kewangan yang tidak mengizinkan. Namun begitu, tahukah anda, tidak mustahil untuk anda keluar dating seharian dengan hanya berbekalkan RM50 sahaja? Kami ada cadangan yang boleh anda cuba!

Dating Seharian Dengan RM50


10 pagi sehingga 1 petang
Jemput si dia di rumah dan terus bawanya bersarapan di kedai mamak. Pesan roti canai dan teh tarik untuk anda berdua. Jumlah wang yang dibelanjakan adalah RM6.00.
Teruskan temu janji anda berdua di Pusat Sains Negara. Jangan terkejut, tempat yang anda rasakan membosankan ini sebenarnya boleh menghiburkan anda berdua. Tiket biasa RM6 untuk seorang. Jumlah wang yang dibelanjakan adalah RM18.00.

2 petang sehingga 4 petang
Sudah tiba masanya untuk makan tengah hari. Bajet anda berdua hanya RM8.00. Anda berdua boleh membeli burger yang terjual di tepi jalan dan air mineral. Letakkan kereta di bawah pokok dan makan bersama sambil berbual tentang aktiviti anda sepanjang minggu. Jumlah wang yang dibelanjakan adalah RM26.00.
Selepas itu anda berdua boleh ke Shah Alam untuk bermain kayak. Anda hanya perlu membayar RM5 untuk sejam. Jumlah wang yang dibelanjakan adalah RM31.00.

5 petang sehingga 8 malam
Beli layang-layang yang berharga RM2.00 dan teruskan aktiviti bermain layang-layang berdua di taman berhampiran. Jumlah wang yang dibelanjakan adalah RM33.00.
Seterus anda berdua boleh menggunakan baki wang yang tinggal untuk makan malam sebelum menghantar pasangan pulang ke rumah. Selamat mencuba!

UNTUNGNYA KAHWIN AWAL

Untungnya Kahwin Awal

Memandangkan ramai di antara rakyat Malaysia kini terlalu mementingkan kerjaya, perkahwinan dan membina keluarga bukanlah menjadi keutamaan mereka. Sekiranya zaman dahulu, wanita banyak berkahwin seawal usia 16 tahun, kini umur 28 masih dikira terlalu awal untuk berkahwin. Untuk itu, kami ingin menyenaraikan kebaikan kahwin awal yang mungkin boleh membuatkan anda terdetik untuk berumah tangga di usia muda.


Tidak Membuang Masa
Tanya diri anda, dalam setahun, berapa ramai koleksi bekas kekasih yang anda ada? Ataupun berapa lama anda sudah bersama dengan kekasih sehingga kini? Berapa kerap dalam seminggu anda keluar tanpa arah tuju bersama dengan rakan anda yang masih bujang? Bayangkan sekiranya anda sudah berkahwin, pasti kehidupan anda jauh lebih teratur dan mungkin anda sudah mempunyai anak yang menjadikan perjalanan hidup anda lebih bermakna.

Mematangkan
Mesti ramai yang bersetuju apabila kami menyatakan perkahwinan boleh mematangkan seseorang. Ia memberikan anda tanggungjawab baru dan anda akan seboleh-bolehnya cuba untuk memenuhi komitmen baru anda. Menjadi lebih bertanggungjawab dan komitmen merupakan di antara faktor seseorang itu cepat matang.

Lebih Stabil
Ramai yang menunggu untuk menjadi lebih stabil dari segi kewangan sebelum mendirikan rumah tangga. Namun begitu, tidakkah anda fikir, perkahwinan itu sendiri yang membuatkan anda menjadi lebih stabil. Dengan kehadiran orang baru di dalam diri anda, pasti anda akan bekerja lebih keras untuk memastikan kehidupan anda sekeluarga menjadi jauh lebih baik daripada sebelumnya.

Faktor Kesuburan dan Anak
Sekiranya anda berkahwin selepas umur 30an, tahap kesuburan anda, tidak kira lelaki atau wanita, akan merosot. Bagi wanita, risiko untuk melahirkan anak setelah usianya meningkat menjadi semakin tinggi. Menurut kajian, faktor umur seseorang ibu turut mempengaruhi tahap kebijaksanaan dan kesempurnaan seseorang anak.

Anda Boleh Bersara Awal
Tidakkah anda terfikir sekiranya anda berkahwin pada awal umur 20-an dan sudah mula menimang cahaya mata, ketika anda berusia 40-an, anak anda sudah mula bekerja. Anda sudah boleh bersara awal. Hidup lebih bermakna pabila anda sempat menyaksikan anak anda berumah tangga dan menimang cucu atau mungkin cicit. Anda dan anak anda juga kelihatan seperti adik beradik! Bukankah itu sesuatu yang baik?

nuffnang ads